Edwin Tegar Jadi 'Burung Hantu'


ewah, pasti ramai yang selalu mendengar suara dan melihat susuk jejaka ini menerusi kaca televisyen. Namun tidak ramai yang mengenali siapakah personaliti yang berlindung di sebalik nama Edwin ini. Mempunyai keunikan tersendiri dalam dunia penyiaran, ternyata 'burung hantu' yang sering berjaga pada waktu malam menerusi stesen Nasional FM ini bukan sebarangan. Memiliki pakej lengkap sebagai selebriti, pastinya mengundang ramai peminat.

Jejaka Dusun yang dilahirkan sebagai Raydwin Robin, 25, berasal dari Beluran, Sabah. Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini mula menceburi bidang penyiaran setelah berjaya menempatkan diri sebagai Finalis Ikon Siarawan 2014. Tidak terhenti di situ, pengacara Selamat Pagi Malaysia ini juga aktif sebagai wartawan lokasi dan ada kalanya berpeluang muncul sebagai penyampai berita. Bila agaknya jejaka ini berehat?

"Sebenarnya jadual tugasan saya berubah-ubah mengikut keperluan, dan saya bertugas di Nasional FM hanya tiga kali seminggu. Tetapi seperti biasalah, saya mengendalikan ruangan Ekspresi dari jam 12 tengah malam hingga 6 pagi," ujarnya yang masih bujang.

Apabila ditanya sama ada ingin 'ubah angin' ke stesen swasta, dia menyatakan masih selesa untuk terus berada di RTM bagi menimba ilmu. Katanya, dia masih belum bersedia untuk mengubah haluan memandangkan peluangnya di RTM semakin mencurah-curah dan dia harus terus mendalami bidang penyiaran dan bukan mengejar populariti semata-mata.

"Walaupun tidak terikat, saya kena banyak gali pengalaman dan mempelajari asas penyiaran. Bukan saya tidak mahu pulang ke negeri kelahiran dan mencuba nasib, tetapi di Kuala Lumpur ini banyak mengajar saya ilmu penyiaran yang lebih luas," katanya yang semakin fasih menutur Bahasa Melayu dengan betul.


Tidak menafikan mempunyai kesukaran kerana 'pelat' Sabah agak menebal suatu ketika dahulu, dia tekad untuk terus bergaul dengan rakan dari Semenanjung Malaysia selain menimba panduan daripada senior penyiaran yang juga berasal dari Negeri di Bawah Bayu.

"Saat paling sukar ialah ketika Ikon Siarawan, begitu payah saya nak hilangkan 'bunyi' Sabah dalam percakapan saya. Setiap hari saya terus berlatih. Tapi ada kalanya sekarang ini pun saya 'terlepas' juga sekali sekala," ujarnya sambil ketawa.

Bertongkat cabang bidang seni ini, Edwin tidak menolak jika diberikan peluang untuk berlakon lantaran minat untuk ke bidang perfileman juga ada tersemat jauh di lubuk hati. Namun baginya, bukan glamor yang hendak dikejar sebaliknya ilmu yang perlu dicari.

"Untungnya saya bergelar penyampai radio ialah kerana percakapan saya semakin baik terutamanya dalam penyampaian secara langsung. Kami dilatih untuk tidak melakukan kesilapan, mungkin ini juga boleh dipraktikkan dalam bidang lakonan. Saya juga pernah ada rasa gentar apabila berdepan dengan kamera, namun sekarang saya mulai selesa," kata Edwin yang banyak menghabiskan masa dalam aktiviti lasak seperti memanjat gunung. Antara gunung yang didaki ialah gunung kebanggaan rakyat Sabah, Kinabalu.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan