Drama Melayu: Selera Penonton Itu Klise?

Ewah ewah, diam tak diam tahun 2015 sudah sampai ke penghujung. Saban tahun, pasti ada produk terbaru yang sudah siap atau masih dalam pembikinan, tidak kira lagu, filem mahu pun drama. Bagaimana pun, saya tertarik dengan sebuah karikatur yang saya temui menerusi laman Facebook milik Dilla Ismail yang mengaitkan dengan drama Melayu yang diterbitkan sebelum ini.


Karikatur menggambarkan watak kebanyakan drama Melayu masa kini

Benar, perit untuk kita terima kenyataan. Tetapi dalam masa sama, saya ingin berlaku adil kepada semua pihak termasuk penonton, pihak produksi, stesen penyiar dan juga penaja. Saya tidak mahu menyebut mana-mana tajuk drama yang berkaitan dengan karikatur ini untuk menjaga sensitiviti, tetapi saya terpanggil untuk mengulas dilema yang melanda semua yang terbabit. Atau lebih tepat, 'stakeholders' atau pihak berkepentingan.

Dari segi ekonomi, di mana ada permintaan di situlah ada penawaran. Maka, penerbitan drama juga adalah satu perniagaan yang mana menjadi periuk nasi pelbagai pihak termasuk penerbit, pihak produksi, pelakon, stesen penyiar dan tidak ketinggalan, penaja. Masalah yang dihadapi kebanyakan mereka ialah rata-rata penonton cukup gemarkan tontonan yang lebih santai dan mampu membawa mereka terus berangan-angan seperti yang tertera menerusi kaca televisyen. Bagi mereka, walaupun tidak mampu untuk merasai pengalaman rekaan berkenaan, cukuplah sekadar dapat berangan-angan. Mereka mudah terhibur dengan cara itu.

Harus diingat, kebanyakan mereka yang berada dalam dunia penyiaran dan penerbitan filem dan drama kebanyakannya cukup fokus dengan dunia seni. Malah, jika diberi peluang, mereka sendiri tidak mahu untuk menghasilkan karya ringan dan penuh angan-angan seperti yang ditayangkan. Bagaimana pun, sering kali keinginan mereka untuk menghasilkan produk berkualiti dan penuh sentuhan seni terbatas disebabkan permintaan yang tidak menyebelahi mereka. Walaupun hakikatnya masih ramai penonton yang mahukan tontonan yang lebih segar dan membawa mesej kemanusiaan yang lebih logik dan realistik, namun jumlah penonton yang inginkan karya anganan tahap tinggi mengatasi semua golongan lain. Maka, pihak penerbitan tiada pilihan atau harus berdepan dengan kerugian.

Penting untuk kita mengetahui bahawa kiraan jumlah penonton atau 'rating' yang tinggi membawa penajaan yang lebih besar, maka pihak stesen penyiar dan syarikat penerbitan sendiri mampu untuk menjana modal untuk menerbitkan drama seterusnya. Jika jumlah penonton kurang dan penaja 'lari' ke stesen lain untuk tajuk filem yang lebih santai, maka terbantutlah perjalanan penerbitan seterusnya. Lihat sajalah apa yang berlaku pada sesetengah drama yang cuba lari daripada konsep yang digambarkan daripada gambar karikatur di atas, kebanyakannya suram dan kurang mendapat sambutan. Malah, kepercayaan pihak stesen penyiar terhadap syarikat penerbitan juga menurun. Lebih parah, skrip yang dihantar awal-awal lagi sudah ditolak mentah-mentah.

Segalanya bergantung kepada penonton. Bukan tugas mudah untuk kita mendidik penonton untuk bertukar selera, khususnya mereka yang tidak peduli sentuhan seni yang tinggi. Sebab itulah kebanyakan drama bermesej berat atau kekeluargaan lebih banyak dijadikan telefilem berbanding drama berangkai yang boleh menjejak sehingga 26 episod. Ini kerana tiada penonton yang sanggup meninggalkan kerusi pejabat hanya kerana hendak mengejar sambungan filem yang bermesej berat. Setelah lebih lapan jam memerah otak menjalankan tugas dalam kerjaya, tidak mungkin penonton hendak 'memenatkan otak' lagi dengan cerita-cerita yang tidak menggembirakan. Perlu diingat, walaupun konflik yang ditunjukkan dalam drama membuatkan mereka menjadi geram atau sedih, tetapi imej orang kaya dengan kehidupan mewah dan hubungan cinta yang romantik membuatkan mereka senang hati. Malah, wajah kacak hero dan heroin yang jelita cukup membuatkan mereka terpesona sepanjang drama disiarkan walaupun ada antara mereka yang berlakon seperti 'kayu'.

Selepas berbelas tahun dalam industri hiburan, saya sedar dilema ini akan terus berterusan walaupun ada pihak yang mungkin kurang bersetuju dengan apa yang ditayangkan menerusi kaca televisyen. Bagi saya, kita harus berbalik pada konsep perniagaan dalam hal ini. Matematiknya cukup mudah, jika peniaga hanya akan menjual apa yang diinginkan majoriti pembeli. Jika ingin mengeluarkan produk yang berlainan sedikit, peniaga mesti berani menganggung risiko. Bagaimana pun, saya percaya tidak ada peniaga yang mahu kerugian berulang kali. 

Penulis berpengalaman menulis di beberapa majalah termasuk majalah URS dan iRemaja sebelum bertugas sebagai Penulis Kanan di Majalah Aksi Akademi Fantasia, sebelum menyertai Selebriti Metro Ahad sebagai penulis sambilan. Penulis juga berpengalaman menjadi penulis skrip untuk beberapa program televisyen termasuk One In A Million dan Katanya.. Akademi Fantasia serta bertugas di belakang tabir untuk beberapa program televisyen, selain pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Rumpun Records - Universal Music Malaysia. Kini penulis bertindak sebagai Ketua Editor di ewahewahdotcom.

Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan