Dilwale: Bukan Liga Shah Rukh - Kajol



Ewah ewah, bukan main cantik lagi Kajol dalam filem Dilwale. Kehadiran hero pujaan ramai, Dato' Shah Rukh Khan dalam filem berkenaan juga menyebabkan ramai yang tidak sabar untuk menonton filem berkenaan. Begitu juga dengan lagu Janam Janam yang sejak dari awal lagi dikongsi oleh ramai peminat filem Hindi yang sebahagian besar membesar dengan filem Bollywood lakonan mereka, seperti Kuch Kuch Hota Hai, Dil To Pagal Hai, Dilwale Dulhaniya Le Jayenge, juga Kabhi Kushi Kabhi Gham.

Bagaimana pun, ada ramai pihak menyatakan rasa kecewa selepas menonton filem ini, apatah lagi mereka mengharapkan sesuatu yang terbaik selepas sekian lama tidak melihat kedua-duanya muncul menerusi layar perak. Malah, ada penulis hiburan sendiri berasa hampa dengan perjalanan cerita berkenaan. EE mengambil keputusan untuk menonton filem berkenaan dan hasilnya, ada benarnya!


Dahulu dan sekarang

Dilwale adalah sebuah filem cinta-muzikal-aksi-komedi arahan Rohit Shetty, menampilkan Raj Randhir Bakshi atau Kaali (lakonan Shah Rukh Khan) yang membuka perniagaan khidmat kosmetik kereta. Dia mempunyai seorang adik bernama Veer Randhir Bakshi (lakonan Varun Dhawan) dan terlalu sayangkan adiknya sehingga akan menuruti apa saja kehendaknya. Kajol pula membawa watak Meera Dev Malik, juga mempunyai seorang adik perempuan bernama Ishita (lakonan Kriti Sanon).

Sepanjang 20 minit pertama filem ini, pasti ada yang berasa bosan kerana dipenuhi dengan 'penerangan' setiap watak. Ada bahagian yang mana dirasakan tidak perlu diletakkan unsur komedi kerana kelihatan terlalu dibuat-buat. Malah, aksi pemanduan kereta ala 'Fast and Furious' begitu ketara sehingga kelihatan keterlaluan. Mungkin ada yang keluar meninggalkan tempat duduk jika hanya berdasarkan apa yang ditunjukkan sepanjang waktu ini.

Beberapa aksi pergaduhan juga kelihatan seperti dipaksa-paksa, yang mana babak 'cari gaduh' turut diselitkan sehingga memaksa tumbuk-menumbuk terjadi. Seperti biasa, filem Hindi tidak akan lari daripada unsur dendam dan watak jahat. Pengarah ini benar-benar 'terdesak' untuk mencipta babak seperti ini sehingga tidak kelihatan natural.


Pendokong utama Dilwale

Semuanya berubah apabila babak imbas kembali bermula (penggambaran dijalankan di Bulgaria), di mana kenderaan yang dipandu Kaali yang juga seorang ahli kongsi gelap terlanggar Meera dalam adegan kejar mengejar. Walaupun dengan kelajuan kenderaan berkenaan sepatutnya Meera mati, tetapi di sinilah bermulanya kisah cinta antara mereka berdua apabila Meera yang hanya cedera sedikit saja membuat Kaali jatuh hati padanya. Dipendekkan cerita, bapa Kaali iaitu Randhir Bakshi (lakonan Vinod Khanna) adalah musuh utama Dev Malik (lakonan Kabir Bedi) yang juga bapa pada Meera.

Pelbagai babak menunjukkan mereka benar-benar bermusuh antara dua kumpulan, mengakibatkan Meera menggunakan cinta mereka untuk memperdaya Kaali. Bagaimana pun, Meera tewas dengan keikhlasan cinta Kaali sehingga terpaksa berhujan untuk memujuk Kaali. Mereka bersetuju untuk berkahwin sehinggalah bapa Meera menipu bapa Kaali dengan mengajaknya ke satu pertemuan, sebaliknya menyerang Kaali dan bapanya. Malangnya, kedua-dua bapa mereka terbunuh dalam pertemuan berkenaan dan Meera menembak Kaali tepat di dada. Bagaimana pun, filem Hindi tak akan berakhir dengan kematian hero. Pastinya penonton di India 'membakar panggung' jika benar terjadi.


Pelakon Dilwale di lokasi

Selepas lebih 15 tahun, mereka bertemu kembali. Hal ini terjadi kerana kedua-dua adik mereka saling jatuh cinta. Keegoan dalam kebencian antara Kaali dan Meera 'terganggu' dek percintaan kedua-dua adik mereka yang disayangi.

Secara kesimpulan, filem ini dilihat seperti hendak disiapkan cepat sehingga beberapa babak kelihatan tidak disusun kemas. Malah, pengarahnya ternyata hendak memasukkan semua babak sehingga menjadi terlalu padat dan mengganggu 'mood' penonton. Dari segi sinematografi, keindahan filem ini hanya tertera pada bahagian muzikal semata-mata. Tidak hairanlah 'trailer' filem ini kelihatan begitu hebat kerana sebahagian besar 'trailer' diambil pada babak muzikal.

Seperti biasa, watak komedi dibawakan oleh pelawak yang tidak asing lagi, Johnny Lever yang membawakan watak Money Bhai. Bahagian komedi filem ini turut dibantu oleh Varun Sharma yang menbawakan watak Sidhu, Sanjay Mishra (Oscar Bhai) dan Boman Irani (King). Ada kalanya, penonton akan ketawa dengan aksi mereka. Walaupun begitu, ada beberapa babak yang menonjolkan lakonan yang menjengkelkan dan tidak perlu diselitkan, khususnya ketika penonton baru sahaja hendak terbuai dengan babak sedih.


Lagu Janam Janam sememangnya 'tiang utama' filem ini. Mungkin kerana itulah 'trailer' filem ini memuatkan lagu berkenaan supaya penonton benar-benar terbuai dengan alunan melodinya. Ini kerana sepanjang filem ini, pengarah menggunakan melodi lagu ini sebagai skor muzik secara maksimum. Kehadiran Varun Dhawan yag bertubuh sasa dan Kriti Sanon juga menjadi daya penarik dalam filem ini.



Ternyata filem Dilwale ini sebenarnya bukanlah liga Kajol dan Shah Rukh Khan lagi. Cuma kedua-dua nama mereka 'digunakan' sepenuhnya untuk jualan tiket yang tinggi sehingga berjaya mencapai kategori 'pecah panggung'.



Bintang: 2.5/5

Gambar: Sumber Internet
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan