"Dia Bukan Anak Ikan!" - Ieda Moin



Ewah ewah, semakin bahagia EE tengok penyanyi, pelakon dan pelawak Ieda Moin yang bergelar ibu tunggal kini. Jika dahulu hidupnya dirundung kesedihan, tetapi sekarang wanita berusia 36 tahun ini semakin cekal dalam menggendong tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada anak perempuan berusia tujuh tahun. Ketika dihubungi, Ieda sedang sibuk berkemas kerana hendak berpindah rumah. Bukan seorang, tetapi ditemani dengan seorang jejaka yang masih bujang. Siapakah jejaka itu? 'Anak ikan'kah?

"Dia bukan 'anak ikan'! Dia adalah teman istimewa saya," kata penyanyi yang pernah bergandingan dengan adik kandungnya dalam kumpulan duo Moin.

Menurutnya, selepas bercerai dan menjalani kehidupan yang sunyi, dia dipertemukan dengan jejaka bernama Mohd Amril Gul Khan Abdul Rahman, 32, ketika menjalani sebuah penggambaran pertengahan tahun ini. Lebih mesra dengan panggilan Am, Ieda tidak menyangka perkenalannya dengan lelaki itu membuahkan rasa sayang seterusnya menerimanya sebagai kekasih.

"Ketika itu Am sebenarnya salah seorang pelakon tambahan, dan kami mula berkenalan. Walaupun Am mempunyai kerjaya tetap dalam industri perkilangan, tapi ada kalanya dia turut sama membantu kakak angkatnya yang mempunyai agensi bakat. Mungkin sudah takdir akhirnya saya ditemukan dengan seorang lelaki yang sangat memahami," kata Ieda.

Bagaimana pun, buat masa ini belum ada perancangan untuk ke peringkat seterusnya kerana kedua-dua mereka ingin mengukuhkan ekonomi bersama sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Ini kerana mereka perlu meyakinkan keluarga kedua-dua belah pihak yang kami bersungguh-sungguh dan bukan main-main dalam perhubungan ini.

    

Ieda ketika rakaman Bolygood di Auditorium Perdana, Angkasapuri. 
Solekan dan dandanan oleh Firdaus Rahman Touch


"Sejak bergelar ibu tunggal, saya akui masyarakat ada kalanya memandang serong dengan saya. Saya sendiri pun agak takut berkawan dengan anak teruna orang, tetapi Am berjaya meyakinkan saya yang dia benar-benar ikhlas menerima saya seadanya. Apa yang paling penting, hubungan dia dengan anak saya sangat rapat dan itulah petanda bahawa dialah yang boleh memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga," kata ibu kepada Nur Dhia Dania Mohammad Naquib yang berusia tujuh tahun.

Memandangkan keluarga Am mementingkan latar belakang agama, Ieda juga berusaha untuk membuat perubahan terhadap dirinya terutamanya dari segi berpakaian dan cara hidup. Malah, ramai kawannya juga menyambut baik dengan kehidupan positif yang ditunjukkan Ieda terutamanya sesudah mengenali Am.

"Sebelum mengenali Am pun kawan saya banyak beri nasihat, contohnya Norkhiriah. Nor banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat menyebabkan saya terfikir untuk menjadi contoh yang baik kepada Dania. Apabila melihat kemesraan antara Am dan anak saya pula, saya rasa terpanggil untuk menghormati Am sebagai lelaki yang mungkin boleh mencorak masa depan saya dan anak saya," katanya yang turut mengakui berusaha untuk memperbaiki dirinya sebagai menghormati keluarga Am.

Tempoh enam bulan mungkin terlalu baru bagi sebuah perhubungan, tetapi penyanyi yang muncul dengan lagu baru secara solo berjudul 'Kahwin Lagi' ini yakin dengan perjalanan hidupnya. Walaupun tidak sepenuhnya mengenali Am, dia yang lebih suka berterus terang dalam segala hal membuatkan hubungan mereka tetap utuh sehingga ke hari ini.

"Tipulah kalau dalam hubungan ini tiada pasang surutnya. Saya juga ada kelemahan dan kelebihan, begitu juga dengan Am. Apa yang saya kagum ialah sikapnya yang sentiasa cakna jika ada sesuatu yang tidak kena pada diri saya. Saya mudah melenting, tetapi dia tidak begitu kerana dia lebih tenang sekali gus membuatkan saya lebih mudah mengawal perasaan saya. Apa yang pasti, buat masa ini segala tindakannya membuatkan saya tahu yang dia sayangkan saya," ujar Ieda ceria.

EE turut berpeluang menemu bual Am sendiri yang kebetulan berada bersama Ieda ketika itu. Menurut Am, semasa awal perkenalan dia langsung tidak ada perasaan apa-apa terhadap Ieda walaupun maklum wanita itu seorang artis yang dikenali ramai.

 
 

Gambar ihsan Am dan Ieda Moin

"Entah bagaimana, perwatakan Ieda menghiburkan hati saya. Semua orang tahu sifatnya yang gemar melatah dan ceria, tetapi setelah mengenalinya barulah saya nampak keperibadiannya yang begitu baik dan jujur walaupun mungkin ada yang salah tanggapan. Apa yang saya tahu, selepas bekerja Ieda akan hidup dalam dunianya sendiri tanpa membuat perkara yang mencolok mata atau pelik di mata masyarakat," kata jejaka berasal dari Kuantan, Pahang ini.

Apa yang pasti, hubungan jejaka berdarah kacukan Pakistan-Melayu ini tidak kekok melayan anak perempuan Ieda yang begitu manja dengannya. Malah, ada kalanya Damia akan merujuk kepada Am dahulu dalam banyak perkara sebelum ibunya sendiri. Mungkin kerana dalam keluarga Am mempunyai beberapa anak saudara perempuan membuatkan dia selesa.

"Saya berasal dari kampung, dan hubungan kekeluargaan amat rapat. Saya sendiri mempunyai anak saudara kembar perempuan dan sangat menyayangi kanak-kanak," kata Am.

Apabila ditanya mengenai perancangan seterusnya bersama Ieda, Am menyatakan perkara sama iaitu ingin membina kewangan yang kukuh bersama Ieda, apatah lagi mereka merancang untuk mengeluarkan produk sendiri tidak lama lagi untuk dipasarkan.

"Saya juga ada impian saya sendiri, dan semua maklum status Ieda yang mempunya anak. Kami tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan kerana tidak mahu mementingkan diri sendiri. Saya mahu kedua-dua belah pihak yakin dengan apa yang kami lakukan dan kami ingin buktikan yang kami juga boleh berjaya seperti orang lain. Apa yang utama, kami mahu masa depan kami khususnya anak lebih terjamin," kata Am.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan