Dangdut Dimartabat, Lagu Asli Terus Sepi


Gambar sumber Internet

Ewah ewah, tahniah diucapkan kepada pemenang D'Academy Asia Indosiar iaitu Danang DA2. Ternyata kekuatan jejaka itu menarik minat juri untuk memberikan markah tertinggi berbanding dua lagi finalis rancangan berkenaan iaitu Lesti DA1 serta peserta dari Malaysia, Shiha Zikir yang mana masing-masing memperoleh tempat kedua dan ketiga. Apa yang saya lihat, kedudukan tempat itu lebih kepada sekadar formaliti sesebuah pertandingan memandangkan semua peserta memiliki kelebihan tersendiri.

Bagaimana pun, saya cukup kagum dengan stesen penyiar iaitu Indosiar yang bijak mengambil inisiatif mengembalikan kegemilangan irama dangdut yang cukup sinonim dengan negara jiran itu setelah sekian lama irama berkenaan dipandang sebagai hiburan kelas pertengahan dan rendah setelah kemunculan penggiat irama pop di sana. Irama dangdut sebenarnya menerima nasib sama seperti lagu asli di negara kita yang semakin hanyut ditenggelami genre moden. Paling parah, generasi muda kedua-dua negara kini lebih terarah ke irama luar seperti Barat, Jepun dan Korea.

Kita tidak harus menyalahkan generasi muda ini memandangkan senario hari ini tidak sama seperti dahulu yang mana media mampu mengawal kemasukan karya luar. Kewujudan Internet pada hari ini sedikit sebanyak memainkan peranan dalam membukan lebih luas punca hiburan kepada khalayak. Secara natural, kebanyakan generasi muda lebih menghargai karya luar berbanding karya tempatan. Bukan sahaja muzik atau filem, kita sendiri sedar barangan yang diimport dari luar negara sering kali mendapat tempat pelanggan walaupun ada kalanya hasil usaha anak tempatan jauh lebih bagus daripada yang dibawa masuk dari luar.


Persembahan ghazal sewaktu Anugerah Skrin satu inisiatif yang harus dipuji

Dalam hal ini kita harus bertanya pada diri kita sendiri sejauh mana kita berusaha untuk memartabatkan warisan bangsa kita. Irama asli seperti ghazal, deli, keroncong, dondang sayang dan joget misalnya, semakin tenggelam dengan arus kemodenan. Malah, saya sendiri pernah mendengar cerita daripada 'orang kuat' di belakang tabir penganjuran sebuah anugerah mengenai kesukaran yang dihadapi mereka untuk menyelitkan slot khas untuk persembahan irama sebegini. Kata beliau, ada beberapa bahagian yang berkuasa dalam stesen penyiar enggan membenarkan persembahan lagu asli diselitkan atas alasan 'tidak boleh dijual'.

Sebenarnya, pembunuhan warisan bangsa ini dilakukan oleh bangsa kita sendiri semata-mata hendak mengikut arus aliran semasa. Kononnya, irama asli tidak lagi relevan maka warisan ini tidak perlu diteruskan. Mungkin bagi mereka, lagu irama tradisional ini kolot dan tidak wajar diberi nafas baru. Bagaimana pun, mujurlah kita masih ada stesen radio dan televisyen kerajaan iaitu RTM yang bertungkus-lumus menyelamatkan irama kita sendiri berbanding stesen swasta yang kebanyakannya dikemudi oleh warga tanah air yang kononnya moden. Pahit untuk ditelan, tetapi itulah kenyataannya.

Saya ingin memetik kata-kata Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee sedikit masa lalu berkenaan hal ini. Menurut beliau, jika kita sendiri tidak menyemai pengetahuan mengenai lagu asli kepada jiwa anak muda, nescaya lagu lain akan mengambil tempat di dalam diri mereka. Dan ini benar-benar terjadi masa kini apabila kata-kata beliau menjadi kenyataan. Ternyata seniman genius ini mempunyai pemikiran jauh ke hadapan dan dapat melihat bagaimana pekara itu pernah terjadi ketika zaman A-go-go menolak terus irama asli ke sisi.


Bingkisan Tan Sri P Ramlee menerusi History Channel berkenaan lagu asli

Sebenarnya, sudah sampai masa stesen swasta yang kita ketahui mempunyai pengikut lebih ramai untuk mempertahankan irama tradisional. Pihak berwajib harus mengambil inisiatif untuk mewajibkan setiap stesen penyiar menganjurkan apa saja acara yang dapat menghidupkan semula khazanah milik kita. Jika pada suatu ketika kita pernah terbuai dengan lagu seperti Cindai oleh Dato' Siti Nurhaliza, Dikir Puteri (Noraniza Idris), Bakawali (Syura dan Siti Nordiana), Silang Silik (Illa Sabry), Seni Berzaman (To'ki) dan banyak lagi, kenapa tidak sekarang? Malah lagu seperti ini pernah dimainkan di corong radio nombor satu negara ini tanpa sebarang masalah.

Jika tiada yang meminati, mengapa lagu Gadis Jolobu karya Waris dan Dato' Hattan boleh pula mendapat tempat di hati pendengar? Sama-sama kita fikirkan.

Penulis berpengalaman menulis di beberapa majalah termasuk majalah URS dan iRemaja sebelum bertugas sebagai Penulis Kanan di Majalah Aksi Akademi Fantasia, sebelum menyertai Selebriti Metro Ahad sebagai penulis sambilan. Penulis juga berpengalaman menjadi penulis skrip untuk beberapa program televisyen termasuk One In A Million dan Katanya.. Akademi Fantasia serta bertugas di belakang tabir untuk beberapa program televisyen, selain pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Rumpun Records - Universal Music Malaysia. Kini penulis bertindak sebagai Ketua Editor di ewahewahdotcom.
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Danang's voice is so amazing. No wonder he wins . Tahniah Danang :)

    BalasPadam