Artis Meninggal, Amyza Mengamuk?


Ewah ewah berasa sedih apabila anak seni satu demi satu pergi meninggalkan alam fana ini. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pemergian artis komedi Yus Jambu, disusuli sehari selepas itu dengan pemergian Seniwati Mariani. Lazimnya, ramai yang berdukacita apabila peristiwa seperti ini berlaku, lain pula dengan apa yang dialami oleh anak seni apabila masih hidup.

Perkara ini bagaimana pun dikongsi berbeza oleh pelakon yang kini lebih 20 tahun bergiat dalam dunia lakonan, Amyza Aznan. Selain daripada meluahkan rasa sedih, pelakon yang boleh membawa pelbagai watak ini meluahkan rasa geram dengan masyarakat yang sering 'menyerang' artis tanpa segan silu, malah ada yang sanggup 'melondehkan' aib mereka yang masih hidup hanya kerana bergelar anak seni. Kemudian, ada pula pihak yang menyelar wartawan kononnya suka menulis perkara peribadi artis ketika hayat mereka. Jom kita susuri temubual EE dengan Amyza yang 'mengamuk' mengenai perkara ini.

Sejak akhir-akhir ini ramai anak seni yang pergi meninggalkan kita. Tetapi kenapa masyarakat kita selalunya baru nak hargai hasil seni mereka apabila sudah meninggal dunia?

"Kami ni dah tak ada suara nak bercakap lagi dah. Perkara ini bukan baru berlaku, dah bertahun-tahun kami hadapi perkara sama. Suara kami anak seni hanya dipandang sepi apabila mengutarakan hal ini, tiada yang ambil serius. Apabila ada anak seni yang meninggal dunia, barulah nak hargai kerjaya seni mereka. Percayalah, perkara ini akan berterusan sampai bila-bila. Masyarakat tak akan sedar."

Kita dikejutkan dengan pemergian Yus Jambu dan diikuti Seniwati Mariani yang meninggal dunia sehari selepas itu. Sejauh mana masyarakat akan mengingati mereka?

"Apabila sudah tiada, barulah ada pihak yang akan mengungkit kenapa tidak pernah diberikan penghargaan atau pun anugerah. Tapi selalunya perkara ini tidak kekal lama. Adalah dalam seminggu, lepas itu semua orang lupa kembali.

Ada pihak mengatakan masyarakat memuji selepas kematian mereka kerana menyingkap perkara buruk yang berlaku ketika hayat masih adalah tidak baik, jadi untuk menghormati si mati perlu sebut perkara baik sahaja. Bagaimana pula dengan anak seni yang masih hidup? Adakah perlu dicerca dengan teruk jika ada perkara negatif berlaku? Adakah ini salah wartawan yang suka mengorek cerita buruk artis?

"Memang sepatutnya kita cerita yang baik-baik kerana orang sudah meninggal dunia. Tak bagus kita cerita aib orang. Tapi kenapa sebelum meninggal dunia kita tak boleh cerita yang baik-baik? Kenapa mesti nak korek yang aib-aib juga? Lepas tu salahkan wartawan. Kononnya wartawan ni, artis beranak pun nak tulis. Artis buat itu ini pun nak tulis. Habis tu? Itulah sebab wujudnya wartawan hiburan. Kalau seluar saya terkoyak pun wartawan nak tulis, tulislah kalau itu boleh dijadikan bahan cerita dan orang nak baca. Kalau wartawan 'rakyat', sudah tentu mereka akan tulis kisah rakyat marhaen."

Ada segelintir masyarakat menuduh wartawan terlalu 'murahan' kerana gemar bertanyakan soalan klise seperti tanda pelik sebelum meninggal dunia. Apa pendapat Amyza?

"Habis tu nak tanya apa lagi? Mestilah dia akan tanya soalan berlapik. Kadang-kadang soalan klise ditanya kerana mungkin ada soalan lain yang sensitif khususnya kepada pihak keluarga. Jadi sebab itu wartawan tanya jika ada perkara terjadi yang membawa petanda sebelum si mati meninggal dunia. Sebagai contoh, jawapan yang diberi mungkin si mati berusaha nak menunaikan umrah. Bukankah manis jawapan seperti itu? Kenapa masyarakat asyik nak mencari salah, nak pandang perkara negatif saja? Cuba cari yang positif, maka dapatlah yang positif."

Apabila Dato Siti Nurhaliza mengumumkan yang beliau mengalami keguguran kandungan, ada pihak yang mengatakan itu pembalasan Tuhan kerana bergiat dalam bidang muzik itu berdosa. Patut atau tidak?

"Subhanallah, tak boleh nak cakap haram atau halal sampai macam itu. Cuba kita lihat, setiap kali ada pertandingan menyanyi, ada jer yang 'sodok' anak mereka masuk pertandingan menyanyi. Saya tengok yang berimej muslimah pun ada yang pergi uji bakat. Lepas tu nak cakap kami ni berlegar dengan halal haram. Dengar sini, daripada mereka buat perkara tak senonoh sampai meningkatkan gejala sosial, apa salahnya jadi anak seni? Kita tak ada hak nak letak hukum pada orang. Kita lihat setiap kali ada anak seni yang meninggal dunia, kebanyakannya pergi pada bulan yang 'cantik', hari yang 'cantik'. Ada yang meninggal bulan Ramadan, ada yang pergi pada hari Khamis dan Jumaat. Kita siapa nak menghukum? Kita tak tahu amalan si mati macam mana. Jangan suka menghukum!"

Sepanjang lebih 20 tahun bergelar anak seni, pernahkah dilanda gosip sehingga nak berhenti menjadi pelakon?

"Setakat ini tak ada lagi gosip yang buat saya nak berhenti berlakon. Cuma apa yang saya kesalkan, kadang-kadang peluang dalam bidang ni semakin kurang. Bukan sebab apa, ada pihak yang suka 'menapis' apabila nak memilih pelakon. Kami ni ada bil yang perlu dibayar, ada komitmen yang mesti diselesaikan sama seperti orang lain. Macam-macam kejadian seperti stesen televisyen terlalu memilih dan meminggirkan sesetengah pelakon. Kalau nak cakap fasal gosip, belum ada lagi wartawan di Malaysia yang kurang ajar atau biadab sampai tak tahu etika kewartawanan. Yang jadi masalah apabila ada penulis blog yang sibuk nak kejar jumlah pembaca, main cedok artikel orang tanpa rasa bersalah. Tajuk yang dibuat bukan main gempak, tapi isinya tak ada. Malah ada yang sanggup mengaibkan anak seni hanya kerana nak kejar populariti blog mereka."

Apabila kisah rumah tangga disentuh, bagaimana Amyza menghadapinya?

"Saya pernah ada pengalaman semasa awal perkahwinan di mana saya berusaha untuk selamatkan perkahwinan kami. Saya ditanya wartawan dengan pelbagai soalan namun saya ceritakan perkara betul tanpa berselindung. Memang ketika itu saya kelihatan jahat pada mata orang, apatah lagi saya keluar kenyataan mahu memijak perut wanita mengandung kerana terlalu geram. Tapi orang fikir yang saya dah pijak walhal saya tak buat apa pun lagi ketika itu. Kalau saya dah pijak, dah tentu saya dah masuk penjara kerana saya dah 'sentuh' orang itu. Alhamdulillah, apabila dapat gosip yang tak baik mengenai rumah tangga, saya ada seorang suami yang sangat tenang orangnya. Walaupun ada kalanya saya mengaku banyak buat perkara bodoh ketika marah, kekuatan prinsip suami sayalah yang menyelamatkan rumah tangga kami. Jadi pesan saya, sesungguhnya yang benar-benar boleh menyelamatkan rumah tangga adalah si lelaki. Wanita ini emosional. Penting bagi lelaki untuk mengawal keadaan," kata Amyza.

   
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan