AJL30 Memang Sengit!



Ewah ewah, tahniah kepada semua komposer, penulis lirik dan penyanyi yang berjaya meloloskan diri ke pertandingan lagu paling berprestij di Malaysia iaitu Anugerah Juara Lagu. Tahun ini, kejuaraan ini masuk tahun ke-30 dan apa yang istimewa, saingan untuk merebut gelaran itu begitu sengit sehingga juri turut 'pening' dalam memilih lagu manakah yang bakal dinobatkan sebagai Juara Lagu pada 9 Januari 2016 nanti.

Pada malam ketiga peringkat separuh akhir Muzik Muzik 30, sembilan lagu bersaing untuk menempatkan diri dalam 12 lagu yang bakal ke peringkat akhir. Selepas lagu Sampai Mati nyanyian Hazama dan Potret yang dipersembahkan oleh Akim & The Majistret diumumkan sebagai lagu terbaik untuk minggu pertama dan kedua, dapat dilihat peserta bersungguh-sungguh dalam pertandingan minggu ini. Lagu yang bersaing adalah Dikoyak Waktu oleh Ronnie Hussein, Selalu Ada (Amir Jahari), Tak Pernah Menyerah (Dayang Nurfaizah), Al Nura Yang 5 Dan 6 (Mawi, Hazama dan Daly Filsuf), Assalamualaikum (Faizal Tahir), Siapa Diriku (Ayda Jebat), Kau Tercipta (Lah Ahmad), Nyawaku (Azmil Mentor) dan Linangan Terakhir (Forteen). Bagaimana pun, Tomok menggalas tugas membawakan lagu Assalamualaikum menggantikan Faizal Tahir untuk peringkat ini.


Ternyata vokal Ronnie yang mantap berjaya membawakan lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Aepul Roza, membawa penonton menghayati lagu berkenaan sehingga mendapat tepukan gemuruh penonton. Amir Jahari yang membawakan lagu ciptaannya sendiri juga tidak kurang hebat dengan persembahan unik, membawa segerombolan pemuzik untuk mengiringinya serta latar belakang yang begitu menyegarkan. Dayang Nurfaizah tampil sempurna dengan persembahan memukau dengan lagu ciptaan Akid dan lirik oleh Poji Samad, selain anggun dengan pakaian rekaan Rizalman. Gabungan Mawi, Hazama dan Daly Filsuf ternyata mengejutkan ramai kerana mereka membawakan lagu ciptaan Mawi sendiri dan Syeikh Qalam dengan cara tersendiri, apatah lagi kemampuan vokal mereka semakin baik berbanding sebelumnya.

Tomok tampil bersendirian membawakan lagu yang dipopularkan Faizal Tahir, membuktikan lagu ciptaan Faizal Tahir sendiri, Mike Chan, Omar K, Ezra Kong dan Audi Mok ini bukan sekadar lagu 'biasa-biasa' tetapi mempunyai auranya tersendiri, apatah lagi bait liriknya begitu dekat di hati. Kelincahan Ayda Jebat bersama penari juga menarik perhatian ramai, malah sorakan peminatnya kedengaran sejak awal acara membuktikan penyanyi yang membawakan lagu ciptaan Omar K dan Ezra Kong serta lirik turut disumbangkan Ayda sendiri ada keunikan tersendiri.


Sekian lama tidak melihat Lah Ahmad melontarkan suaranya yang pernah menjadi pujaan ramai sewaktu bersama kumpulan V.E dulu, lelaki itu tampil kemas dalam kawalan vokalnya menerusi lagu ciptaannya sendiri yang difahamkan direka khas untuk isterinya sempena ulang tahun perkahwinan mereka. Penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program Mentor, Azmil, turut tidak kurang mantap menerusi lagu ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim. Sebuah lagi lagu ciptaan Edry dipersembahkan oleh kumpulan Forteen iaitu Linangan Terakhir.

Menurut ketua juri, Dato' Mokhzani Ismail, pemilihan lagu untuk ke juara lagu bukanlah suatu perkara yang mudah memandangkan rata-rata ciptaan kali ini semakin banyak peningkatannya dari segi susunan lirik dan lagu. Bagaimana pun, beberapa kriteria turut dititik beratkan dalam pemilihan yang turut disertai Azmeer, Helen Yap, Edrie Hashim, Jennifer Thompson, Loque dan Taja selaku juri.


"Penyanyi turut memainkan peranan penting dalam persembahan sesebuah lagu dan sejauh mana lagu itu memberi impak kepada pendengar. Setakat ini juri berpuas hati dengan keputusan. Bukan lagu yang gagal mara itu tak bagus, cuma kita hanya 12 tempat sahaja untuk diisi. Oleh yang demikian kita pilihlah yang terbaik selain unik.

"Kita juga pilih ikut pengkelasan, takkanlah pada malam Anugerah Juara Lagu kita pilih semua lagu balada. Adalah penting untuk kita pastikan malam pertandingan itu penuh warna-warni dengan aneka jenis lagu. Sebagai contoh, lagu Angin Kencang sangat unik berbanding lagu yang ada, selain Assalamualaikum yang membawa tema 'World Music' dan Not For Sale yang kreatif pembikinannya sebagai sebuah lagu rancak," ujarnya.



Apa pun EE ucapkan tahniah kepada semua komposer, penulis lirik dan penyanyi yang berjaya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-30.

12 Lagu Yang Layak Bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-30

1. Biarkanlah / Drama Band / Aepul Roza, Amar Habir, Daus SRK dan Faeez Halim / Aepul Roza, Amar Habir, Daus SRK dan Faeez Halim
2. Knock Knock / Elizabeth Tan / Faizal Tahir dan Mike Chan / Faizal Tahir dan Mike Chan
3. Sampai Mati / Hazama / Omar K dan Audi Mok / Omar K
4. Bukan Hal Aku / Kaka Azraff dan Aliff Sleeq / The Good Fellas / The Good Fellas
5. Hanya Namamu / Caliph Buskers / Edry Abdul Halim / Edry Abdul Halim
6. Malam Ini Kita Punya / Bunkface / Sam Bunkface / Sam Bunkface
7. Potret / Akim & The Majistret / Hang Nadim / Kamar Empayar
8. Not For Sale / Stacy / Mike Chan dan Omar K / Mike Chan, Omar K dan Altimet
9. Angin Kencang / Noh Salleh / Noh Salleh / Noh Salleh
10. Mana Mungkin / Black Hanifah / Ajai / Ajai
11. Tak Pernah Menyerah / Dayang Nurfaizah / Akid / Poji Samad
12. Assalamualaikum / Faizal Tahir / Faizal Tahir, Mike Chan, Omar K, Ezra Kong dan Audi Mok / Faizal Tahir, Mike Chan, Omar K, Ezra Kong dan Audi Mok

* (Lagu / Penyanyi / Komposer / Penulis Lirik)


Peminat Dayang Nurfaizah yang turut memeriahkan Separuh Akhir Muzik Muzik di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral

Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan