Eksklusif: Sekitar Pemergian Yus Jambu

Ewah ewah berkesempatan untuk berada di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Selayang untuk melihat suasana di sana ketika jenazah pelawak Yussry Edoo atau Pak Yus, 39, yang meninggal dunia malam tadi selepas sesak nafas dalam perjalanan pulang daripada menjayakan persembahan di Dataran Merdeka.


Suasana di Jabatan Forensik, Hospital Selayang


Walaupun keadaan hujan renyai, ramai selebriti kelihatan termasuk Dato Hattan, Tauke Jambu, Akim Ahmad, Black Hanifah, Zizan Razak, Hazama, Tomok, Nabil, Johan, Ozlynn Wati, Rahim Raja Lawak, Kumpulan Zero, Fizz Fairuz, Zahid, Lan Pet Pet, Along Cham, Achey, Mark Adam, Kamal Adli, Ajak Shiro, Achong Sweetchild dan ramai lagi. Suasana pilu menyelubungi malah ada yang menitiskan air mata sambil berpelukan sesama sendiri.

Menurut Black yang bersama-sama dengan Allahyarham Jumaat lalu ketika program Juara Parodi, Pak Yus agak berubah personalitinya menjadi agak pendiam berbanding sebelumnya.

"Pak Yus agak mendiamkan diri ketika di bilik persalinan, malah sifatnya yang suka berlawak sebelum ini berubah menjadi pendiam.

"Saya tak sangka perubahannya itu tanda dia hendak pergi buat selama-lamanya," ujar Black.


Black Hanifah turut hadir memberi penghormatan


Menurut seorang rakan Allahyarham yang turut berada di Dataran Merdeka ketika acara yang melibatkan Allahyarham sebelum meninggal dunia, Pak Yus kelihatan letih dan tidak menghabiskan makanannya.

"Pak Yus tidak menghabiskan sebiji burger yang dimakannya tadi. Dalam jam 11.30 dia dan dua orang lagi rakannya bergerak pulang.

"Ketika melalui Jalan Kuching, salah seorang rakannya melihat Pak Yus tidak bergerak selepas melepaskan nafas yang panjang dan mereka bergegas ke Hospital Selayang untuk menyelamatkannya. Malangnya Pak Yus sudah tiada lagi," katanya.

Along Cham yang juga rakan baik Allahyarham turut tidak menyangka dengan pemergian Pak Yus yang dirasakan satu kehilangan besar dalam dunia komedi.

"Pak Yus bagaikan Abang Long kami kerana dia adalah Juara Raja Lawak musim pertama.

"Bagaimana pun saya bersyukur kerana pihak stesen Astro sudi memberi sumbangan dalam pengurusan jenazah Pak Yus," kata Along yang juga naib juara program Raja Lawak musim kedua bersama Azrul dalam Kumpulan Cham.


Along Cham turut hadir di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Selayang


Johan yang hadir bersama isterinya Ozlynn Wati turut meluahkan kesedihannya dengan kehilangan Pak Yus, apatah lagi Allahyarham adalah teman bermain permainan atas talian.

"Saya dan Pak Yus bermain permainan atas talian (online game) bersama-sama dan kami sering berhubung menerusi telefon kerana permainan ini.

"Kali terakhir kami bertemu ketika peringkat akhir Super Spontan, tak sangka itulah pertemuan terakhir kami," kata Johan.

Turut menyuarakan rasa sedih adalah teman Allahyarham dalam Kumpulan Jambu iaitu Tauke. Sebagai seorang yang paling rapat dengan Pak Yus, kehilangan paling besar amat dirasai. Malah sifat Allahyarham yang suka mengambil berat mengenai rakan-rakannya menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

"Pak Yus gemar menasihatkan semua kawannya agar menjaga kesihatan, selalu membuat pemeriksaan darah dan sebagainya setiap kali bertemu dengan rakan-rakan atau ketika bercakap di telefon.

"Pak Yus memang pernah sakit, tapi saya ingatkan dia sudah sihat memandangkan dia kelihatan biasa saja setiap kali sesi latihan atau membuat persembahan.



Tauke Jambu ditemuramah media


Menurut Tauke, ketika dikejarkan ke Hospital Selayang, nadi Allahyarham tidak dapat dikesan oleh pihak hospital namun pihak perubatan sedaya upaya menyelamatkan Pak Yus dengan melakukan pelbagai prosedur. Bagaimana pun, Allahyarham disahkan meninggal dunia.

"Saya perasan sejak akhir-akhir ini Pak Yus begitu bersungguh-sungguh dalam persembahannya. Tak sangka itu tanda dia akan pergi meninggalkan kita semua," kata Tauke yang ditemuramah pihak media yang turut sama membuat liputan.

Jenazah Allahyarham selamat dimandi dan dikafankan di Jabatan Forensik, Hospital Selayang sebelum disembahyangkan. Turut kelihatan ketika solat jenazah berlangsung adalah rakan selebriti dan sahabat handai Allahyarham.

Jenazah Pak Yus akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Nesam, Bintong, Perlis hari ini.

*****

Foto sekitar Jabatan Forensik, Hospital Selayang

 

Dato Hattan antara yang menyembahyangkan jenazah Pak Yus


Nabil turut sama mengangkat keranda

     

Perjalanan terakhir Pak Yus

 

Tauke dan Achong Sweetchild berpelukan


Black Hanifah turut mengangkat keranda


Dato Hattan ditemuramah media

           

Antara selebriti yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir

   

Suasana pilu menyelubungi perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Selayang

  

Lan Pet Pet tidak dapat menahan rasa sebak dengan pemergian Pak Yus
Share on Google Plus

About Ewahewah Dotcom

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan